Khamis, 10 Mei 2012

JANGAN KITA BODOH DITIPU OLEH ORANG CERDIK...SEDANG CERDIK ITU TAK PENDULI HALAL HARAM...JANGAN KITA MENYESAL DIDUNIA JUGA MENYESAL DIAKHIRAT

Mahathir selar Marina, apa keganasan polis?

Harakahdaily, 10 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar tulisan anak perempuannya Datin Paduka Marina dalam akhbar The Star yang mengecam keganasan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0.

Tulisan terbaru Marina di kolumnya Musings, beliau berkata situasi kini kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan dalam insiden keganasan ketika Bersih 3.0.

“Tapi keganasan itu, terutamanya daripada mereka yang sepatutnya melindungi kita susah untuk dinafikan, apatah lagi dengan beribu video, gambar and saksi kejadian. Saya turut terbinggung sebentar atas hal ini. Bagaimana polis bertukar daripada tidak berbahaya kepada ganas tanpa alasan tertentu,” tulis beliau.

“Dan jika Menteri Dalam Negeri berkeras bahawa tiada siapa yang mengarahkan polis untuk bertindak ganas, jadi apa yang menyebabkan mereka melakukan demikian, sehingga situasi yang begitu teruk? 65 orang masuk di hospital, hanya dua sahaja polis. Ini memberitahu sesuatu,” kata Marina lagi.

Marina berkata insiden tersebut perlu disiasat dan salah satu caranya ialah menubuhkan suruhanjaya penyiasatan yang bebas.

“Ramai yang tercedera bukan disebabkan polis. Para pendemo, juga melakukan serangan terhadap orang ramai yang mereka sangka sedang menyaksikan atau merakam apa yang berlaku,” selar Mahathir yang dipetik The Star.

Mahathir turut mendakwa Unit Amal PAS “yang berbaju merah” dan “dilatih khas oleh PAS untuk menggunakan keganasan” turut terlibat.

Mahathir turut berkata bahawa Marina tidak tercedera walaupun menyertai Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 kerana beliau mengikut “arahan”.

“Ini kerana beliau tidak cuba untuk merobohkan benteng yang dibina pihak berkuasa. Beliau duduk apabila tiba di benteng. Kalau semua pendemo ikut cara beliau, semua tidak akan cedera,” hujah Mahathir lagi.

Marina, kata ayahnya, sudah pasti tahu akan peristiwa “benteng diceroboh”, “cermin kereta polis pecah” dan “kereta polis diterbalikkan”.

Membela pihak polis yang terbukti keganasannya daripada video-video yang dimuat oleh para peserta Bersih 3.0, Mahathir berkata polis yang diberi latihan khas untuk menangani keganasan ramai “akan menggunakan apa yang diajar untuk menangani sebarang situasi.”

Sudahlah dibelasah, nak solat tidak dibenarkan

Muhammad Faizal, 10 Mei 2012
SHAH ALAM, 10 Mei: Ahmad Shukri Kamarudin, 22, memberitahu beliau bukan sahaja dibelasah dengan teruk sehingga mendapat kecederaan di muka tetapi tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.


Ahmad Shukri yang ditemui Harakahdaily turut menyatakan pada hari kejadian himpunan Bersih, beliau telah ditangkap pada jam 7 malam di sekitar Masjid India.

Namum ketika itu beliau sedang berehat serta tidak mempunyai apa-apa bukti yang mengatakan beliau menyerta himpunan tersebut, malah ketika itu sudah ramai orang awam datang untuk membeli belah di kawasan berkenaan.

"Saya berhenti rehat di kawasan tersebut bersama adik saya sekitar jam 7 malam dan ketika itu peserta himpunan telah bersurai malah terdapat orang ramai yang menghampiri kawasan tersebut untuk membeli belah.

"Namun ketika saya sedang rehat, saya perhatikan terdapat sekumpulan polis lebih kurang dua puluh orang sedang berjalan di kawasan tersebut dan saya beranggapan segalanya telah selesai," jelasnya yang ditemui di Kota Kemuning.

Tambahnya lagi, tetapi jangkaan itu meleset apabila kumpulan polis tersebut telah menghampirinya dan terus memukulnya serta adiknya.

"Saya dibelasah teruk oleh sekumpulan sepuluh orang polis begitu juga adik saya, ditumbuk mahupun ditendang di badan.

"Malah ketika saya jatuh mereka turut menendang muka saya menyebabkan cermin mata saya patah dan lebam di bahagian muka serta kecederaan pada bahagian hidung," cerita beliau.

Ahmad Shukri berkata, keganasan polis tidak hanya sewaktu beliau ditangkap malah beliau terus dipukul apabila melintasi mereka.

"Kebanyakan polis yang sedang duduk di tepi-tepi jalan juga tidak melepaskan peluang memukul saya, malah cacian juga dilemparkan.

"Sepanjang saya ke Kelab Diraja Selangor dari Masjid India sepanjang itulah saya terus dipukul sehinggakan beberapa gigi saya telah longgar akibat ditumbuk," katanya.

Beliau turut didesak oleh pihak polis yang mahu mengetahui berapa ringgit dibayar bagi menyertai himpunan tersebut.

Katanya, jika mengatakan tidak dibayar dan tidak menyertai himpunan beliau terus dipukul kerana polis tidak berpuashati dengan jawapan itu.

Menurutnya lagi ketika sampai ke Kelab Diraja Selangor beliau terus dipukul dengan teruk sehinggalah ditempatkan bersama-sama tahanan yang lain.

"Saya teruk dipukul dengan kejam tanpa belas kasihan tetapi kekejaman mereka tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga tidak dapat menunaikan solat Maghrib sedangkan ketika itu waktu Maghrib akan habis.

"Kecewa dengan sikap polis yang beragama Islam kerana tidak peka dalam soal ibadat, mereka sepatutnya beri peluang bukan menafikan," sambungnya lagi.

Beliau yang cedera di muka telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), kecederaan di hidung menyebabkan darah terus keluar dua hari selepas himpunan tersebut.

Panel Bersih 3.0: Hanif wajar undur cara terhormat

Harakahdaily, 10 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya perlantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran dan keganasan pihak polis terhadap peserta himpunan aman Bersih 3.0 baru-baru ini.

Perlantikan beliau dan 5 orang lagi ahli panel diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin semalam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Hanif bukanlah orang yang paling  sesuai untuk mengetuai panel itu.

“Ini disebabkan beliau sendiri merupakan mantan Ketua Polis Negara dan berkemungkinan berlaku ‘bias’ terhadap sesi siasatan bebas tersebut,” kata Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Hanif juga telah berlaku ‘bias’ apabila menyokong kenyataan pihak kerajaan yang mengatakan ada unsur-unsur untuk menggulingkan kerajaan di dalam himpunan Bersih 3.0.

Hasbullah berkata, pihaknya berpandangan panel siasatan itu sudah pasti tidak akan menemukan sebarang unsur-unsur keganasan daripada pihak polis di dalam menangani peserta Bersih 3.0 kerana pengerusi panel sudah dilihat tidak bebas dan terlalu memihak kepada kerajaan.

Maka, ujarnya skrip jawaban panel siasatan sudah dapat diagak dengan tindakan pihak polis untuk melakukan provokasi, memukul dan menangkap peserta Bersih 3.0 adalah menurut prosedur yang betul.

Oleh itu, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta Hanif untuk mengundurkan diri secara terhormat daripada mengetuai panel bebas itu dan pihak kerajaan diminta untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang lebih telus untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Oleh kerana sikap tidak serius dan berlepas tangan pihak kerajaanlah maka orang-orang seperti Tun Hanif dilantik untuk mengetuai panel ini walaupun beliau merupakan orang yang bermasalah,”

Hanif prejudis, bagaimana boleh ketuai panel bebas?

Harakahdaily, 10 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Sebagai mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammad Hanif Omar seharusnya dikecualikan daripada menjadi ahli panel siasatan atas sebab konflik kepentingan kerana yang dituduh dalam kes Bersih 3.0 adalah pihak polis.

“Kedua, dengan mengutuk Bersih secara terbuka, prejudis Hanif yang berat sebelah juga harus mengecualikannya daripada panel tersebut,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar).

Justeru, ujarnya perlantikan Hanif sebagai ketua panel penasihat bebas untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan kebimbangan rakyat dan persoalan sama ada siasatan itu akan mengaburkan kebenaran keganasan polis atas peserta yang berhimpun secara aman, menutup penderitaan mangsa-mangsa ataupun menjadi alasan untuk mewajarkan penipuan BN bahawa Bersih 3.0 merupakan cubaan rampasan kuasa.

Menurut Guan Eng, Hanif, yang kini menjadi timbalan pengerusi Genting Malaysia Bhd, telah mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0, dan telah menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya, Hanif telah menambah bahawa taktik menggunakan dalang pencetus provokasi untuk menyebabkan pertelingkahan dengan polis serta membawa kanak-kanak bersama dalam harapan mereka akan dicederakan merupakan taktik yang dipelajari oleh demonstrasi pro-komunis dahulu.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Najib Razak boleh menganggap Hanif sebagai seorang individu yang “berwibawa, berpengalaman dan dihormati” yang akan memastikan panel siasatan itu bersih dan tidak berat sebelah, apabila Hanif sudah pun mengambil pendirian yang prejudis dan partisan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 sebagai cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

“Yang tidak masuk akalnya, dakwaan rampasan kuasa oleh Najib dan Hanif itu telah mengabaikan hakikat bahawa enam wartawan tempatan dan 12 jurugambar dan wartawan media asing telah dilaporkan dipukul oleh polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, yang lebih teruknya, Hanif kini dilantik untuk mengetuai panel siasatan, lantas menimbulkan keraguan terhadap integriti, kepercayaan dan kredibiliti hasil siasatannya.

Akhirnya, kata beliau dengan mengaitkan Bersih dengan komunis, Hanif masih lagi melawan musuh zaman dahulu, serta membuatkan hasil siasatan ini satu perkara yang sudah pasti.

“Untuk sebab-sebab ini, Perdana Menteri harus menyelamatkan atau memulihkan kredibiliti dan keyakinan umum bahawa “keadilan tidak hanya dilakukan tetapi juga dilihat sebagai dilakukan” dengan menggantikan Hanif dengan seorang yang bebas, tidak terlibat dalam politik, tidak berat sebelah dan seorang yang tegak berintegriti,” ujar Guan Eng lagi.

Cerita anak peneroka tentang saham FGVHB

Mohd Sayuti Omar, 10 Mei 2012
Seorang anak peneroka berasal dari Johor kini menetap di Papar Sabah menghantar email kepada saya untuk berkongsi cerita mengenai nasib peneroka yang dikejutkan oleh pengumuman pemberian “durian runtuh” dan saham FGVHB oleh Najib Razak kelmarin.

Terima kasih kepada sdr MS, (saya rengkaskan namanya). Memang apa diceritakan MS mengejutkan dan sedap untuk mendengarnya.

Kita yang bukan anak peneroka ini tidak akan mengetahui kisah yang hendak dikongsikan oleh MS ini. Kita bernasib baik dengan adanya kisah ini.

Ikutilah kisah yang hendak dikisahkan itu semoga ia menginsafkan kita semua.

Apapun terima kasih kepada MS kerana berkongsi cerita dengan kita semua dan mengirimkan cerita itu kepada saya – blog MT.

Assalamualaikum tuan MSO…

Sekadar berkongsi cerita…

Terlebih dahulu sebelum saya menulis, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian tuan membaca email saya dan seterusnya berkongsi sedikit pengalaman saya tentang FVGHB.

Saya merupakan anak sulung seorang peneroka Felda di Segamat dan kini menetap di Papar, Sabah. Kebetulan saya juga menjaga bapa saya yang uzur dan kini dia tinggal bersama saya di sini.

Pada21/04/2012 lebih kurang jam 9.50 malam, saya menerima satu panggilan telefon dari seorang staf felda tempat saya meminta salinan kad pengenalan bapa saya.

Saya bertanya kepada staf tersebut untuk tujuan apa?

Dan dia menyatakan bahawa bagi tujuan FVGHB dan menerangkan sedikit bahawa pihak maybank telah bersetuju untuk memberikan pinjaman kepada bapa saya untuk tujuan membeli saham tersebut.

Seterusnya staf tersebut juga menyatakan tawaran itu dibuat hanya dua hari sahaja dan pembayaran dibuat melalui Maybank.

Saya seterusnya mengajukan soalan adakah ianya perlu dibeli oleh bapa saya? Dan dia menyatakan ianya adalah pilihan dan meminta keputusan malam itu juga.

Saya mengambil keputusan bahawa tidak akan membeli saham tersebut selagi tidak mendapat penerangan yang terperinci.

Pada 30/04/2012, saya elah membuat panggilan telefon ke pejabat felda tersebut dan meminta penerangan dari staf di pejabat tersebut.

Antara sedikit penerangan yang diberi ialah :

i.Pinjaman bagi membeli saham tersebut melalui maybank

ii.Tiada had pinjaman

iii.Tidak perlu penjamin

iv.Tidak perlu sebarang cagaran

v.Hanya bayar jumlahpinjaman sahaja tetapi dikenakan caj perkhidmatan 5% setahun oleh pihak maybank

vi.Pihak felda hanya menguruskan perkara yang berkaitan dengankebajikan peneroka sahaja.

vii.Bagi risiko kerugian pula, pihak staf tersebut tidak pasti siapa yang akan bertanggungjawab terhadapnya. (sama ada peneroka atau felda)

viii.Staf tersebut juga menyatakan mereka menasihatkan peneroka menjual semula saham mereka dalam masa 6 bulan jika ada keuntungan (saham naik)

ix.Staf tersebut juga menyatakan bahawa mereka terpaksa menyelesaikan arahan tersebut dalam tempoh masa yang singkat disebabkan ianya arahan dari atasan felda.

x.Terakhir sekali dia juga menyatakan bahawa dia juga kurang memahami tentang FVGHBtersebut.

Persoalannya yang timbul di sini ialah:

i.Mengapa pelaksanaan FVGHB dibuat secara tergesa-gesa

ii.Sukar untuk dipercayai bahawa pihak bank memberi pinjaman tanpa had kepada golongan peneroka seperti bapa saya yang berumur melebihi65 tahun

iii.Adakah logic pihak bank tidak memerlukan cagaran atau penjamin bagi pinjaman membeli saham.

iv.Pihak staf juga kurang memahami tentang FVGHB dan bagaimana mereka menerangkannya kepada peneroka

v.Yang penting ialah siapakah yang akan menanggung risiko kerugian jika saham jatuh dan hendak bayar bank menggunakan apa?

Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada tuan dan besarlah harapan saya agarpihak tuan akan dapat menyiasat dan membongkar kebejatan dan kebobrokanyang terdapat dalam pihak pengurusan utama felda khususnya dan UBN umumnya.

Saya rasa masih ramai lagi anak-anak peneroka yang sedar tentang perkara ini tetapi segan atau tidak tahu di mana hendak menyuarakannya.

Sekian terima kasih.

Anak peneroka
Papar, Sabah.
ujarnya.

Tiada ulasan: